Ya, mungkin saya memang terdesak. Saya tidak dapat mengawal emosi dengan baik dan suka 'PMS' walaupun bukan pada masanya. Namun, saya hanya manusia biasa. Kadang-kadang saya berharap yang saya ini robot atau benda yang tidak bernyawa kerana jika saya bukan manusia, saya pasti tidak perlu merasai bebanan perasaan ataupun kisah akan perasaan orang lain jika saya ada mengguris perasaan mereka.
Satu masalah lagi, saya mahu belajar tetapi saya berasa amat malas memandangkan peperiksaan saya lambat lagi walaupun saya tahu saya akan menyesal kemudian hari kerana membuat kerja pada saat yang terakhir. Maka, saya mengalihkan perhatian saya kepada rancangan 'Britain Mempunyai Bakat' dan video klip-video klip yang menarik yang saya layari di TiubAwak. Saya juga menonton filem 'My Fair Lady' (saya tidak tahu bagaimana untuk menterjemahkan tajuk filem tersebut ke BM, jika tidak, ia akan berbunyi seperti ini: Perempuan Cerah Saya, dan kita tahu tajuk itu tidak dapat memberi refleksi kepada isi cerita tersebut. Filem itu tidak sama sekali menyentuh tentang warna kulit) dan saya juga menonton cerita '17 Kembali'. Zac Efron kelihatan sangat 'panas' dan saya rasa budak lelaki itu menjadi semakin kacak apabila beliau menjadi semakin dewasa.
Saya tahu saya sudah banyak merepek dan merapu serta banyak membuang masa hari ini namun esok ialah Cuti Hari Bank dan saya tidak perlu ke kelas. Saya amat gembira. Oh tidak. Tipu lah jika saya kata saya gembira kerana 'tidak perlu ke kelas' bukanlah komponen utama untuk kegembiraan hidup saya.
13 years ago



No comments:
Post a Comment